KENAIKAN harga petroleum RON95 dan RON97 boleh difahami, walaupun tidak sepenuhnya boleh dipersetujui, tapi kenaikan barang MAKANAN seperti gula yang BOLEH DITANAM dan DIHASILKAN di dalam negara adalah kerja gila!
Menteri Pertanian Asas Tani, Noh Omar dinasihatkan kurang berpolitik dan selepas gagal menjalankan tugas memastikan gula mencukupi, beliau hendaklah meletakkan jawatan!
Rasional kenapa gula tidak sepatutnya disubsidi dan dinaikkan harganya sejak 53 tahun lalu ialah kerana tanah di negara kita amat subur, dianugerahkan Allah untuk ditanam dengan tebu. Pemimpin kerajaan tidak pernah BERSYUKUR diberikan Allah tanah yang subur.
Eksperimen pertama yang perlu Noh Omar lakukan ialah, tolong campakkan beberapa batang tebu ke tanah di belakang rumah keluarganya di kampung. Tolong tulis dan catatkan berapa hari batang tebu itu boleh bertunas, tanpa perlu ia ditanam ke dalam tanah?
Ini akan menghasilkan kita satu hipotesis yang amat mudah bahawa tebu cukup senang tumbuh di negara ini. Alangkah mudahnya wahai saudara Noh Omar! Tebu boleh ditanam di negara ini dan gula TAK PERLU DIIMPORT DARI LUAR NEGARA.
Selama ini kita terlalu bergantung kepada import gula di luar negara dan memberi kekayaan SECARA SEMULAJADI kepada orang-orang tertentu yang mempunyai kebenaran untuk mengimportnya! Paling jelas orang itu bukannya orang Melayu.
Usah berbohong dan berauta kita tidak mempunyai cukup kilang. Tanyalah BAPAK di Felda, berapa kilang gula yang mereka boleh sediakan. Lihatlah kilang gula di Central Sugar Refinery (CSR) Shah Alam dan Chuping. Semua kilang mencukupi untuk memproses gula yang dihasilkan di dalam negara.
Usah juga temberang tebu di negara kita hanya boleh hasilkan gula merah dan tidak ekonomik untuk menghasilkan gula. Apa guna Mardi, Fama dan pelbagai macam lagi agensi kerajaan di bawah kementerian pertanian. Tidakkah kita boleh menjalankan ujian dan kajian bagi mengatasi masalah itu. Jika kita mampu menghasilkan kereta dan mampu menghantar seorang rakyat ke angkasa dengan sebegitu besar kosnya, kenapa kajian untuk menghasilkan gula di negara ini tidak dilakukan.
Jika seorang rakyat menanam sebatang tebu, 27 juta rakyat akan menghasilkan 27 juta batang tebu yang boleh diproses menjadi gula. Apa masalahnya? Sebenarnya tidak akan ada masalah jika menteri faham dan reti untuk melihat kesengsaraan rakyat miskin yang tentunya pula adalah orang Melayu!
Itu baru sahaja kita bercerita soal gula, belum bercerita soal kelapa dan beras. Kenapalah jadi begini? Kalaulah Jepun dapat memiliki Malaysia, dialah negara paling kaya di dunia dengan hasil pertanian yang tiada tolok bandingnya.
Kenaikan harga gula sebanyak 20 sen memang tidak langsung dirasai oleh menteri. Tidak langsung! Tapi menteri harus ingat, ia amat besar bagi satu keluarga yang saya boleh tunjukkan bagaimana berbelanja 60 sen sehari untuk beli ikan kering, 70 sen sehari untuk telur dan RM1 untuk membeli sayur! Keluarga Melayu ini masih hidup dalam keadaan Umno telah memimpin negara sejak 53 tahun lalu. Keluarga ini amat menghargai 20 sen yang tidak dipandang sebagai apa-apa! Tidakkah kamu pemimpin semua mempunyai hati perut?
Saya cabar sesiapa sahaja kalau mengatakan tidak ada keluarga sebegini yang hanya berpendapatan RM600 sebulan terpaksa menyabung hidup dalam keadaan kerajaan amat mudah menaikkan harga makanan seperti gula! Bertaubat dan insaflah Umno! Ingatlah Allah akan membalas bala ke atas semua pemimpin yang tidak amanah untuk menjaga anugerah Allah di atas bumi yang subur ini!