TELAH hampir tiga tahun, Siti Asnah Ismail, 25, keluar dari rumah keluarganya di Bukit Beruntung, Selangor. Namun sehingga ke hari ini tiada sepatah khabar diterima ibu dan ayahnya.
Dan sebaik sahaja ibunya, Zawiyah Dol, menangis terisak-isak menerusi telefon bercakap dengan Wan Kamarudin atau Wan K, penerbit dan pengacara Talian Hayat ntv7, suara hatinya merentap perasaan semua orang.
Kru Talian Hayat segera bergegas ke rumah keluarga Siti Asnah. Malam ini kita akan dipaparkan dengan kesedihan sebuah keluarga berdepan misteri kehilangan anak tercinta. Tontonlah Talian Hayat, jam 7.30 malam ini. Mana tahu kita mampu membantu keluarga itu mencari anaknya yang hilang sejak hampir tiga tahun lalu.
Siti Asnah adalah lulusan Politeknik Sultan Alaudin Abdul Aziz Shah, Kuantan dan pemegang Diploma dalam bidang kejuruteraan perubatan.
Menurut ayahnya, Ismail Mohd Akhir, anaknya itu keluar rumah pada 7 Januari 2008 memberitahu mahu mengambil gaji di tempat kerja sambilannya di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, sejak itu telefon bimbitnya gagal dihubungi dan duka sebuah keluarga pun terus berlangsung sehingga kini tanpa sepatah perkhabaran dari anak tersayang.
Mari kita tonton Talian Hayat jam 7.30 di ntv7 malam ini. Sekurang-kurangnya kita berkongsi kesedihan keluarga anak bangsa kita.