SEORANG warga emas terbunuh, manakala suaminya cedera parah dengan melecur separuh badan apabila kereta yang mereka naiki bertembung sebuah kereta lain dalam satu kejadian di KM35, Jalan Kuantan-Kemaman, petang tadi.
Dalam kejadian jam 1.45 petang itu, Senik Osman, 69, rentung apabila kereta Proton Iswara dipandu suaminya terbakar manakala suaminya yang berusia 72 tahun, melecur tetapi berjaya dikeluarkan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Kemaman ke Kuantan apabila sebuah kereta Toyota Vios dari arah bertentangan bertembung mengakibatkan kereta Proton Iswara itu terbakar.
Kereta Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki 22 tahun dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan lain, tetapi gagal. Pemandunya bagaimanapun hanya cedera ringan.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).