HAMPIR saban hari ada sahaja yang dilaporkan maut menjadi mangsa penjenayah. Di Port Dickson, hari ini, seorang ustazah dan anak lelakinya ditemui mati dipercayai dibunuh dalam keadaan kepala dibungkus, manakala kaki dan tangan terikat di dalam bilik air di rumah mereka.
Norliza Ishak, 35, dan anak lelakinya Amirul Ayman Mohd Yusof 10 tahun ditemui mati oleh rakannya kira-kira jam 10 pagi tadi di kediaman mereka di sebuah Flet di bandar peranginan itu.
Norliza yang tinggal berasama anaknya tidak hadir ke tempat dia mengajar di Sekolah Kebangsaan Port Dickson, menyebabkan rakannya mencurigai sesuatu. Rakannya yang datang mendapati rumah itu berkunci tetapi datang kemudian bersama pemaju perumahan untuk membuka rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh, dipetik berkata Norliza dan anaknya dipercayai mati di antara jam 4 dan 5 petang semalam.
Mangsa tinggal bersama anaknya di rumah itu sementara suaminya berada di Mesir menjalankan perniagaan dan mereka kebiasaannya akan bertemu untuk meraikan perayaan sekeluarga.
Orang ramai diminta membantu polis menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes itu bagi membantu siasatan. BERSAMA MENCEGAH JENAYAH