nuffnang ads

Wednesday, September 1, 2010

TAN SRI ISMAIL OMAR KETUA POLIS NEGARA BARU. MUSA HASSAN TAMAT KONTRAK

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Hussein, sebentar tadi mengumumkan kenaikan pangkat Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sebagai Ketua Polis Negara yang baru menggantikan Tan Sri Musa Hassan.

"Saya ingin umumkan bahawa kontrak Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara akan berakhir pada 12 September ini. Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pula akan dinaikkan pangkat menjadi Ketua Polis Negara yang baru berkuatkuasa 13 September," kata Hishamuddin ketika membuat pengumuman itu kepada wartawan.

Penamatan kontrak Musa telah dijangka oleh pelbagai pihak sebelum ini, malah spekulasi mengenai penggantinya lebih banyak tertumpu kepada bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Ramli Yusof yang mempunyai lebih kekananan.

Musa, 59, bersara daripada perkhidmatan polis pada tahun 2007, tetapi kerajaan membuat keputusan melanjutkan perkhidmatannya sebanyak dua kali secara kontrak. 

Pada majlis yang sama, Hishamuddin turut mengumumkan kenaikan pangkat Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hussin Ismail kepada jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, menggantikan tempat yang dikosongkan Ismail.

Sementara itu, Musa ketika diminta mengulas pengumuman itu berharap pasukan polis di semua peringkat dapat diberi pembelaan yang sewajarnya sebagai menghargai tugas mereka untuk menjaga keselamatan negara.

Mengenai jawatan Ketua Polis Negara pula, beliau berkata sesiapa pun yang menjawat jawatan itu akan berdepan pelbagai cabaran dan berharap penggantinya dapat berdepan segala cabaran dengan semangat yang kuat demi negara.
 

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10