SEKALI DUA, orang tak kisah. Sehari dua orang tak peduli. Tapi kalau sudah keterlaluan atau orang putih kata over, orang akan naik benci. Orang akan meluat, mual dan loya. Di hujung semua perasaan itu orang akan muntah.
Demikianlah mahu disentuh tentang orang perempuan, atau lebih tepat lagi tentang perempuan yang telah menjadi isteri! Apatah lagi kalau perempuan itu isteri orang politik!
Kalau seorang isteri mahu menunjukkan dia juga mempunyai kuasa sama seperti kuasa yang ada pada suaminya, tentu keadaan akan menjadi lain. Tentu yang tunggang jadi terbalik, yang lintang menjadi pukang. Apatah lagi kalau satu-satu hal itu menjadi perkara yang sepatutnya milik suami untuk bercakap mengenainya.
Dalam dunia politik, seseorang isteri mesti faham dan reti tugas dan sempadan untuk dia tanggung serta menghormatinya. Dia tidak boleh mendahului si suami kerana dalam politik, isteri pemimpin hanyalah pembantu bukannya pemandu. Hanyalah peneman, bukannya tuan.
Kalau si isteri menganggap menjadi isteri pemimpin politik adalah platform untuk dia meraih populariti, dia telah melakukan kesilapan yang amat besar. Dia telah melakukan kekhilafan yang sukar dimaafkan.
Ingat dan insaflah wahai perempuan bergelar isteri.