DAH LAMA NAK TULIS fasal perangai isteri VIP atau orang kenamaan, tapi tak kesampaian. Cuma ketika menjalani ujian Ultrasound dan X Ray di sebuah pusat perubatan Shah Alam tadi, hati melonjak-lonjak memaksa 'benda' itu mesti ditulis juga. Maklumlah dak dekat puasa, nanti ada isteri VIP mudah cepat angin.
Bukan apa. Kepada semua isteri orang kenamaan, tolong perhatikan baik-baik, pandang elok-elok dan tatap luas-luas. Tolonglah belajar daripada personaliti DYMM Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, setiap kali baginda menemani DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke mana-mana majlis sama ada melibatkan golongan atasan mahupun rakyat marhaen. Baginda Raja Permaisuri Agong amat tertib dalam semua perkara. Sukar menemui hal-hal yang khilaf pada pandangan kita. Baik ketika bertitah mahu pun ketika beramah mesra dengan rakyat jelata.
Sesungguhnya, contohilah baginda wahai isteri-isteri orang kenamaan. Jangan ketika berjalan mendahului suami dan jangan juga bercakap sesuatu yang bukan hak kita untuk bercakap mengenainya. Atau kata orang jangan meletakkan kata-kata suami di mulut kita. Apatah lagi mendesak kata-kata kita sentiasa ada di mulut suami.
Ingatlah juga wahai isteri orang kenamaan, yang berkuasa adalah suami anda dan isteri hanyalah peneman bukan tuan. Isteri adalah pembantu bukan pemandu!
Jangan mengambil kesempatan untuk bertingkah keterlaluan kerana kuasa suami adalah amanah dan tanggungjawab, bukannya pentas untuk meraih populariti!
Contohi baginda DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah!