Ini nak tegur sikit radio dan televisyen kita. Terutama radio dan televisyen swasta yang suka sangat siarkan lagu atau filem dari negara jiran kita. Dah berbuih mulut pendengar dan penonton bercakap. Kata siaran media elektronik kita dah macam berkiblat ke negara jiran. Tepatnya Indonesia.
Sikit-sikit lagu Indonesia. Kadang-kadang tak sampai beberapa jam, lagu yang sama dimainkan berkali-kali. Orang Jawa cakap macam batak sangat.
Nak tegur ini bukan apa. Kalau kita dok puja-puja lagu dan filem asing, tetapi pelakon filem atau penyanyi dari negara itu semakin pula tunjukkan perangai tak semenggah tak kan kita buat muka pekak badak. Atau buat muka katak termasuk tepung? Atau buat muka tupai terkena getah tikus? Atau nak tunjuk muka orang kena gigit lintah kat tengkuk? Maknanya buat macam muka tak reti akal.
Ariel ditahan. Luna dan Cut Tari pun sama. Nampak semakin tepat jurus siasatan polis sana berhubung kes salah laku seks mereka yang dirakamkan. Bukan kecik-kecik anak si Ariel tu misalnya. Anak muzik dari kumpulan Peterpan yang telah jadi pujaan anak muda di sini. Kemudian untuk tambah memualkan lagi perangai tak semenggah itu, masuk pula babak kawan baik Datuk Siti Nurhaliza. Si Kris Dayanti tu. Macam tak sempat nak tunggu malam atau nak cari bilik. Ditonyohnya aje bibir bercium mulut di depan khalayak.
Hal-hal sedemikian tolonglah fikirkan. Janganlah dikatakan orang radio dan televisyen kita tak ada langsung tanggungjawab sosial kepada pendengar dan penonton kita. Memekakkan telinga dan menutup mata hal-hal salah laku itu seolah-olah kita punya perangai tak kisah. Lagu dan filem mereka kita siarkan macam tak ada apa-apa berlaku. Tunjukkanlah sikit gencatan.Sekurang-kurangnya ada isyarat jelas dari kita bahawa kalau mahu lagu dan filem mereka disiarkan di sini, perangai kena mantap. Aksi liar jangan silap!