Dari mana berita diperolehi? Tentu ada sumbernya dan benar kata Kunta Kinte dalam tulisannya di dalam Berita Harian bahawa kewibawaan sumber sebenarnya menentukan sama ada sesuatu berita itu boleh diyakini atau tidak. Boleh merosakkan atau sebaliknya.
Andai sumber berita, katakan dari seorang menteri memberitahu sesuatu, kemudian dilaporkan menerusi RTM. Tidak lama selepas itu berita berkenaan disanggah oleh kerajaan dalam cara langsung atau tak langsung . Ini juga boleh dianggap sebagai berita yang kurang berwibawa. Dalam hal ini, menyerang secara terus ke arah penulis atau wartawan atau media yang diwakili kononnya membuat laporan fitnah atau kurang wibawa sehingga boleh merosakkan akal budi dan minda rakyat, adalah sesuatu yang kurang tepat.
Kita ambil contoh mudah. Pernah ada menteri memberitahu media kononnya negara akan muflis jika subsidi tidak dikurangkan secara berperingkat, tetapi tidak lama kemudian laporan itu membawa maksud di sebaliknya apabila ada pula penafian berkenaannya. Begitu juga, seorang menteri dilaporkan berkata pembangunan Kampung Baru akan membuka peluang 40 peratus kepentingan kepada bangsa asing. Tidak lama kemudian, dikatakan salah faham dan hanya sekadar cadangan. Begitu juga laporan kononnya undang-undang mengenakan saman sehingga RM1,000 yang telah diluluskan parlimen tetapi tidak lama kemudian ia ditarik balik. Semua berita itu diperolehi daripada sumbernya dan tidak ditulis berdasarkan khayalan. Soalnya, bagaimana mahu kita katogerikan mutu, kelas atau tahap berita itu. Soalnya juga kalau berita itu tidak menepati piawaian sebagai berita yang sepatutnya, siapakah yang salah. Wartawan atau sumber berita?
Sumber beritalah, seperti kata Kunta Kinte yang semestinya berwibawa supaya penulis dapat menghasilkan laporan yang bukan fitnah atau tidak betul atau kurang tepat. Kita amat bimbang seseorang sumber berita yang kurang berintegriti akan menyuntik kecelaruan, ketidaktentuan dan sekaligus menjadikan berita itu kurang wibawa. Tetapi belum pasti ia sesuatu yang bersifat fitnah atau berbohong.
DEBUS DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Wartawan jadi kambing hitam sudah jadi lumrah. Cuma kambing menjadi wartawan sahaja belum ada.