Ada beberapa sahabat semalam duduk minum-minum sempat juga mengulas, antara lain merumuskan sebab kerajaan dimarahi dan dibenci oleh rakyat ialah kegagalan kerajaan untuk menolong rakyat apabila mereka berdepan masalah.
Antaranya ialah: 1. Ramai telah bankrap. Sebahagian besarnya orang Melayu. Kalau ada 40,000 Melayu yang bankrap, bayangkan berapa banyak undi yang kerajaan hilang apatah lagi kalau setiap orang yang bankrap boleh mempengaruhi 3 orang yang lain (ahli keluarganya, rakan-rakan atau mereka yang simpati). Kerajaan menurut salah seorang sahabat, sepatutnya mencari jalan keluar menggunakan KWSP membantu si bankrap kali pertama. Kalau boleh luluskan 1,000 hektar bantu sekolah Cina, kalau boleh bantu berjuta ringgit untuk sekolah Tamil dan kalau boleh bagi biasiswa secara terbuka kepada semua golongan, kenapa duit KWSP milik si bankrap tidak boleh digunakan untuk bantu mereka memulakan hidup baru.
2.Ramai marah melihat orang UMNO dapat projek dan kadang kala yang sekolah takat darjah enam diberi kontrak pembersihan hampir RM1 juta setahun dan memiliki kereta mewah. Sedangkan rakyat lain tidak mendapat apa-apa. Ini bukan isu cemburu tetapi isunya ialah kronisme, favouritisme dan sikap suka berpilih.
3.Sikap pegawai dan kakitangan kerajaan yang sambil lewa melayan rakyat. Contoh: Apabila mahu berjumpa ketua sesebuah jabatan, punyalah payah konon kata bos tiada, bos suruh jumpa pegawai bawahanlah dan macam-macam alasan. Pergilah ke JPJ bila terlebih dua minit,, disuruhnya pelanggan pulang dan datang esok. Alasan petugas kaunter depan, duit telah dikira dan dia tak boleh terima bayaran bagi urusan selepas waktu itu. Begitu juga urusan dengan syarikat yang kerajaan ada kepentingan atau GLC seperti Telekom Malaysia. Aduan rakyat mengenai kerosakan kabel atau internet kadang-kala melebihi seminggu baru dilaksanakan.
4.Kerajaan menguruskan negara secara tidak berhemah. Suka pembaziran. Subsidi untuk orang kaya tak diusik seperti subsidi untuk syarikat IPP atau syarikat pembekal kuasa. Sebaliknya subsidi yang melibatkan rakyat bawahan pula selalu jadi mangsa.