Semoga Allah menempatkan rohnya di sisi mereka yang beriman. Terkenang tiba-tiba sahaja kepada allahyarham Tan Sri Osman Saat. Entah kenapa tetapi selepas Magrib teringat pula banyak bisikannya yang lalu-lalu kepada saya. Ketika itu saya berdua dengan allahyarham di ruang tamunya. Pertemuan itu berlangsung tak silap saya pada 1998. Kami menghabiskan masa lebih 3 jam duduk bertentang empat mata. Allahyarham ketika itu meluahkan semua cerita luar dan dalam, pahit manis dan harapannya tentang politik, keluarga, negara dan bangsa.
Satu-satunya yang saya teringat ialah luahannya yang sebak kerana ada seorang "ahli politik" di Johor yang disifatkannya sebagai menggigit tangannya selepas sekian lama dididik dan diasuh menunjukkan jalan di tengah rimba politik yang begitu luas. Saya terharu. Ketika menuliskan catatan ini bergenang air mata saya. Ketika itu saya tanyakan, kenapakah si polan berbuat begitu? Allahyarham hanya memberitahu saya yang dia tidak mahu mengulas tetapi telah memaafkannya.
Hari ini saya menyifatkan perbuatan itu sebagai melepaskan anjing tersepit atau melepaskan buaya tersepit. Namun keluhuran hati allahyarham enggan memperbesarkan hal itu membuatkan saya lagi-lagilah terharu.
Allahyarham ketika itu sedang bertarung sakit, namun enggan melepaskan saya pulang dulu kerana mahu bercerita. Memang katanya, dia tidak minat bercerita kalau tidak kena orangnya, tetapi rezeki saya. Saya pun mendengar penuh hormat dan penuh adab.
Antara cerita lain allahyarham ialah banyak tohmahan mengatakan beliau kaya kerana beliau menjadi menteri besar. Beliau renung wajah saya. Kemudian saya ingat lagi, beliau pandang ke kawasan luar rumahya. Nampak sayu wajahnya dan terus beliau buka semua cerita. Katanya, beliau bukan tidak sedih tetapi mahu diapakan kata-kata orang. Sedangkan ada ahli politik yang tergamak menggigit tanganya yang menolong, inikan pula mulut orang.
Saya catatkan tentang nostalgia bersama allahyarham sebagai hormat dan salutasi saya terhadap pemimpin yang pernah diarahkan turun dari kerusinya sebagai Menteri Besar. Moga Allah melimpahkan kurnia dan segala kebaikanNya buat roh allahyarham. Amin.