HALAMAN

Thursday, July 15, 2010

SIAPA KATA KLINIK 1MALAYSIA SATU KEJAYAAN: GAGALNYA DI KOTA KEMUNING!

Tok Jib Perdana Menteri kata penubuhan Klinik 1Malaysia telah mencapai kejayaan. Sebab itu beliau uar-uarkan cadangan mahu tubuhkan pula klinik bergerak 1Malaysia yang akan menggunakan bas dilengkapi peralatan perubatan untuk pembedahan kecil ditempatkan di kawasan terpencil.

Katanya, cadangan itu juga bertujuan sebagai langkah berterusan menyediakan perkhidmatan kesihatan bermutu dan murah kepada rakyat negara ini. Yang baik, saya setuju dan baguslah.

Tapi Tok Jib tak dengarkah cerita yang satu ini. Dalam gembira kata Klinik 1Malaysia telah mencatat kejayaan, Tok Jib tak dengarkah yang ada tempat telah dijanjikan klinik itu tetapi sehingga sekarang habuk pun tak ada. Cuba Tok Jib semak, satu di antaranya ialah Klinik 1Malaysia yang sepatutnya diwujudkan di Kota Kemuning, Shah Alam.

Saya pun cubalah mencari klinik itu untuk dapatkan rawatan. Tanpa sedar ramai orang ketawakan saya. Dia orang tanya saya: "Encik cari apa?"

Lalu saya beritahulah yang saya nak cari Klinik 1Malaysia Kota Kemuning. "Kata kat sini ada" tambah saya menunjukkan muka memerang masuk jaring. Tak tunggu lama, terus bagai nak pecah bangunan blok pangsapuri empat tingkat itu diterjah gelak dan kekeh mereka mentertawakan saya.

Seorang daripadanya yang bagaikan seekor kucing terlekat tulang, pun berbudi bahasa memberitahu. "Kalau encik nak tahu. Klinik tu entah sampai kucing bertanduk pun tak tahu ada kat sini"

Demikian Tok Jib. Bukan saya sahaja. Beratus penduduk miskin macam saya yang berpendapatan lima enam ratus ringgit sebulan terpedaya dengan janji dan iklan kerajaan. Salah siapa? Salah rakyatkah Tok Jib?

Itu sebab Tok Jib jangan marah kalau saya kata, jangan gembira sangat. Saya fikir Tok Jib pun tak tahu masalah ini. Mungkin semua orang-orang Tok Jib kata : "Everything okay sir!". Macam pilihanraya. Bila kita tanya semua ok. Tapi lepas mengundi, nah engkau...tunggang terbalik.

Demikian juga Tok Jib. Jangan diperdaya orang ramai sebegini rupa. Kami orang miskin. Kalau kata tak boleh nak wujudkan klinik itu, cakap saja tak boleh. Hal-hal yang macam inilah yang orang politik tak pernah fikirkan kesannya. Bila lepas pilihanraya barulah buat rumusan kata orang Melayu tak kenang budi. Bukan macam itu Tok Jib.

DEBUS DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Tok Jib jangan marah