Maka sah dan acilah sebuah permainan politik Barisan Nasional. Permainan bagi membuktikan bahawa yang kuat menang, yang lemah kalah. Muktamadlah juga satu jangkaan bahawa gula, minyak masak dan bahan bakar akan dinaikkan harga. Sempurnalah akhirnya sebuah kepuasan seekor raksaksa membaham daging manusia!
Tidak akan kami maafkan. Tiada maaf bagi kami golongan miskin menerima kenyataan sebuah permainan ini. Perlu kami tegaskan, setiap sen kenaikan harga barangan yang boleh ditanam atas bumi tanah kelahiran kami, tidak kami izinkan. Biarlah ini menjadi sumpah kepada sebuah kerajaan yang lemah, daif dan tiada akal budinya mentadbir negara.
Nah...Mr Najib and the gang! Pergilah ke mana-mana kedai atau pasaraya. Pergilah wahai yang amat berhormat. Bermula awal pagi, sebaik sahaja pintu premis dibuka, lihatlah betapa mudahnya kita mendapatkan gula. Inilah kami namakan sebuah kemenangan. Dengan kenaikan 25 sen sekilogram, tuan-tuan yang bijaksana lihatlah betapa mudahnya kami mendapat bekalan gula. Betapa mudahnya. Tiadalah lagi kesulitan ini menjadi trauma, menjadi igauan terutamadi kalangan anak Melayu yang berniaga kecil-kecilan. Tindakan tuan-tuan bijaksana menaikkan harga gula kepada RM1.90 sekilogram juga telah membantu kementerian tuan-tuan mengatasi masalah kekurangan gula selama ini!
Tapi ingat tuan-tuan bijaksana. Kenaikan itu adalah atas air mata dan ketidakizinan kami! Sekarang tuan faham kenapa bukan? Faham kenapa gula selama ini sukar didapati. Dan tuan juga telah faham satu teori ekonomi yang boleh menggembirakan tuan tanpa menyedari telah menyeksa golongan miskin. Teori itu ialah kalau mahu lihat lalat, campakkan najis. Kalau mahu lihat buaya campakkan bangkai. Maka samalah jika tuan ingin mudahkan mendapat gula, mahalkan harganya!
Saya tak sangka tuan sanggup menguruskan ekonomi sedemikian rupa. Membiarkan kebergantungan bahan kegunaan dari luar negara dan kemudian jadikan subsidi sebagai alasan untuk mengkayakan bangsa asing lalu pada masa yang sama menekan rakyat miskin!
Kami berjanji kepada Yang Maha Esa, kalau demikianlah sikap tuan-tuan yang tidak mahu mendengar cakap golongan miskin seperti kami, mengambil jalan mudah mengatasi sesuatu masalah, dimintakan segala ini menjadi satu lagi padang untuk kami membentangkan doa.
Terima kasih Mr Najib kerana sudi membuat sesuatu tindakan yang melukakan hati rakyat termiskin. Mulai hari ini dengar sahaja pandangan golongan kaya yang tentu tidak peduli tentang kenaikan semua barangan yang ada di negara ini. Sebabnya di negara kita yang miskin semakin tiada harga di sisi tuan-tuan yang bijaksana. Walaupun kami tidak mempunyai tuan-tuan dan parti tuan sebagai pelindung untuk melindungi dukacita Melayu ini, tapi ingin kami tegaskan bahawa kami ada Allah. Allah ada di mana-mana.
DEBUS DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Saya istyiharkan sepenuhnya saya dan kawan-kawan lain tidak akan menyokong Barisan Nasional. Muktamad.